April 2nd, 2008 by ctzone
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.
Pejam celik pejam celik, 1 April merupakan ulangtahun ke 13
Siti bergiat dalam bidang seni. Banyak pengalaman dan pengajaran yang
telah Siti timba, melalui bermacam-macam situasi, berdepan dengan
pelbagai cabaran, mengharungi saat suka dan duka, semuanya ini tak
terbayangkan oleh Siti selama 13 tahun ini.
Siti melewati hari-hari Siti sebagai insan biasa tetapi melangkah
menjadi anak seni dan berhadapan dengan dunia yang penuh pancaroba,
cabarannya amat besar, bukan sedikit pengorbanan yang harus dibuat dan
begitu jugalah harga yang harus dibayar oleh Siti tidak ternilai dengan
wang ringgit. Justeru, Siti ingin memanjatkan rasa syukur kehadrat
Illahi kerana memberikan ketabahan dan kudrat kepada Siti untuk
mengharungi kehidupan Siti selama ini.
Rasanya tidak lengkap jika ulangtahun ke 13 ini Siti tidak
melahirkan rasa terima kasih yang teramat sangat kepada semua peminat
Siti di mana saja anda berada kerana tanpa sokongan anda tentulah
perjuangan Siti sudah lama berakhir. Siti akui tidak mudah untuk
bertahan selama ini apatah lagi dengan ramai bakat baru yang hebat, dan
banyak program yang melahirkan artis-artis berbakat tetapi anda masih
setia bersama Siti. Terima kasih seikhlasnya daripada Siti buat anda
semua.
Siti juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang
telah bertungkus lumus mengundi Siti untuk ABPBH 2007 baru-baru ini.
Alhamdulillah anugerah Penyanyi Wanita Popular itu Siti juga mahu
berkongsi dengan anda yang telah setia mempertahankannya selama 11
tahun. Tiada apa yang mampu Siti ungkap, hanya ucapan terima kasih.
Semoga anda juga gembira dengan kejayaan ini.
Salam mesra selalu…
Siti Nurhaliza
Posted in Uncategorized | 20 Comments »
February 10th, 2008 by ctzone
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua. Moga sentiasa ceria dan diberkati Allah perjalanan hidup sehari-hari kita.
Siti juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada peminat Siti yang berbangsa Cina dan hendaknya anda semua gembira bersama keluarga tersayang.
Siti ingin melahirkan rasa gembira dan terharu dengan
komen-komen anda mengenai Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini dan
ia melambangkan kesungguhan kita semua kerana tidak mudah mahu
melakukan yang terbaik serta memuaskan hati semua pihak.
Justeru Siti sejak awal berjanji untuk memberikan yang terbaik semampu
Siti dan Alhamdulillah Siti menerima maklumbalas yang baik daripada
media dan juga peminat. Bagi Siti bukan anugerah yang dikejar tapi
bagaimana kita mahu mempersembahkan tanggungjawab yang diberi sebaik
mungkin. Mungkin bukan rezeki Siti tahun ini tetapi Siti yakin setiap
seorang daripada anda juga dapat menerima keputusan AJL dengan hati
yang terbuka.
Sekarang ini Siti baca mesej anda semua sedang berusaha keras
untuk Anugerah Bintang Popular (ABP) dan Siti tahu tanggungjawab anda
sebagai peminat dan Siti hanya doakan yang terbaik sahaja.
Siti terharu dengan sokongan anda dan usaha yang anda buat ini pasti
mengkagumkan Siti walaupun akhirnya nanti kita akur bahawa rezeki itu
adalah ketentuanNya. Tidak salah berusaha kerana kita akan berasa puas
jika kita telah memberikan sebaik mungkin dan sedaya upaya kita.
Gelaran popular dan sebagainya mungkin pernah Siti raih selama ini
tetapi apa yang penting Siti mahu terus memberi bakti yang terbaik
dalam industri walaupun status Siti sekarang sudah berubaha. Perjalanan
seni Siti harus diatur dengan baik dan InsyaAllah Siti akan tetap
berusaha ke arah yang lebih baik dari semasa ke semasa.
Pertengahan bulan ini Siti akan ke Jakarta, Indonesia untuk promosi album Hadiah Daripada Hati.
Tentunya jadual 3 hari Siti di sana akan padat dengan pelbagai acara
yang diatur oleh pihak Universal Indonesia. Siti gembira kerana album
Siti sudah menemui peminat di Indonesia, harapan Siti agar peminat di
sana dapat menerima album ini.
Siti juga ada berita gembira buat peminat Siti di Singapura Mac ini
tapi belum mahu mengumumkannya kerana masih dalam perbincangan. Bila
sudah jadi kenyataan nanti Siti akan khabarkan kepada anda. InsyaAllah.
Sekian dahulu coretan kali ini, terima kasih atas sokongan selama ini. Jumpa lagi.
Siti Nurhaliza
Posted in Uncategorized | 9 Comments »
February 10th, 2008 by ctzone

Undi Dato’ Siti Nurhaliza
- Kategori Penyanyi Wanita Popular (60)
- Kategori Bintang Paling Popular (60)
Tarikh Tutup: 19 Mac 2008
Undi Melalui: Akhbar Berita Harian atau Berita Minggu
Laman Rasmi: Anugerah Bintang Popular Berita Harian
Posted in Uncategorized | 5 Comments »
December 18th, 2007 by ctzone
Kami amat prihatin dan mengetahui bagaimana penantian anda semua terhadap album Hadiah Daripada Hati, sementelahan sudah dikhabarkan di laman ini bahawa album ini dipasarkan 10 Disember. Kami mohon maaf kepada sesiapa yang rasa tertipu atau menghadapi kesulitan mendapatkan album ini pada tarikh yang sepatutnya. Kami sebagai penerbit tidak berniat sedemikian rupa tetapi kelewatan tersebut atas masalah-masalah tertentu yang dihadapi oleh pengedar album. Justeru kami mohon maaf atas kelewatan 2 hari album ini dipasarkan dan kami berharap anda semua berpuas hati kerana album ini sudah dipasarkan sepenuhnya ke seluruh negara. Semoga anda menghargai usaha kami menerbitkan album ini dengan membeli yang original.
Sekian, Terima Kasih-Pengurusan SNP/Sitizone.
Posted in Uncategorized | 15 Comments »
December 4th, 2007 by ctzone
Assalammualaikum dan salam sejahtera. Semoga anda semua gembira dan sihat selalu hendaknya.
Khabar gembira buat semua adalah kemunculan album terbaru daripada saya, Hadiah Daripada Hati. Di laman ini terdapat info terkini dan harapnya anda dapat bersabar menunggu tarikh 10 Disember di mana album ini bakal dipasarkan.
Album ini merupakan hadiah teristimewa buat anda semua yang telah lama menunggu kemunculannya. Doa saya agar anda juga berpuas hati bila mendengarkan hasilnya nanti dan harapan saya juga agar anda dapat membeli album yang original. Jika mahu muat turun biarlah daripada syarikat yang sah iaitu SN Mobile Digital, iaitu syarikat milik saya yang sah. Siti harap dengan adanya album baru ini, anda dapat menjadikannya koleksi istimewa dan sukakan lagu2 yang terdapat di dalamnya. Semua maklumat akan terdapat dalam album itu nanti termasuk kod lagu dan sebagainya.
Saya harap album ini tidak dibandingkan dengan album-album terdahulu kerana setiap daripada karya yang saya rakamkan adalah berbeza-beza namun saya akui amat berpuas hati dengan penghasilan album ini dari segenap segi. Ini juga adalah berkat doa anda semua. Terima kasih saya ucapkan di atas kesabaran anda menantikan album ini.
Semoga dengan `kepergian’ sementara saya nanti, album ini dapat mengubat kerinduan anda. InsyaAllah doakan sewaktu saya berada di sana akan dapat menjalankan ibadah dengan tenang dan lancar. Doakan selamat pergi dan kembali. Pada kesempatan ini saya ingin memohon ampun dan maaf kepada setiap seorang daripada anda yang mengenali saya, doakan yang terbaik buat saya hendaknya.
Mengenai lagu Destinasi Cinta menempah tiket ke Juara Lagu, terima kasih juga atas sokongan anda yang tidak pernah jemu. Tanggungjawab itu akan saya galas dengan sebaiknya nanti.
Sebelum mengundurkan diri, saya sekali lagi mengharapkan agar anda dapat menerima kemunculan album terbaru ini, juga saya ucapkan Selamat Menyambut AidilAdha walaupun masih awal tetapi saya dahulukan di laman ini kerana mempunyai kesempatan di sini. Salam kemaafan daripada saya buat anda semua, semoga gembira selalu dan Allah memberkati setiap perjalanan hidup kita.
Sekian, salam sayang selalu.
Posted in Uncategorized | 10 Comments »
November 26th, 2007 by ctzone
Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua.
Selamat bertemu kembali. Doa Siti agar semuanya berada dalam keadaan yang baik dan sihat selalu. Pejam celik, pejam celik nampaknya gerbang Disember bakal kita lalui. Banyak kenangan tercipta sepanjang tahun ini berlalu dan marilah kita sama-sama berdoa adalah setiap perjalanan hari kita akan terus diberkatiNya.
Minggu lalu Siti sempat beraksi dalam Muzik-Muzik separuh akhir balada dan tentunya mempertaruhkan lagu Bisakah. Kita tahu ramai di kalangan anda yang memberi sokongan kuat, malah datang menyokong dengan berpakaian sedondon, namun Siti berharap agar kita terima dengan hati yang terbuka mengenai kegagalan lagu ini ke Juara Lagu. Siti gembira dan amat terharu kerana peminat amat memahami, siatusi telah berubah di mana kita bersedia menerima semua yang ditakdirkan dengan hati lapang. Siti sendiri gembira melihat reaksi dan maklumbalas yang diterima daripada peminat-peminat yang kebanyakannya begitu positif.
Minggu ini Siti akan berentap dalam kategori pop rock pula menerusi lagu Destinasi Cinta. Seperti minggu lalu, Siti berusaha memberikan yang terbaik untuk setiap lagu dan persembahan Siti. Jika ada rezeki tidak ke mana tetapi jika lagu tersebut gagal ke akhir, masih banyak misi dan visi Siti dalam bidang seni yang perlu diteruskan di hadapan ini.
Sesuatu yang gembira mahu Siti khabarkan kepada anda semua adalah mengenai album baru Siti yang sudahpun ada judulnya iaitu "Hadiah Daripada Hati”. Album ini sudah 80 peratus siap pembikinannya dan akan dipasarkan awal Disember ini. Doakan segalanya berjalan dengan baik dan album ini dapat menambat hati anda. Siti telah berusaha memberikan yang semampunya daripada Siti dan terpulanglah kepada anda untuk menilainya nanti. Ada gabungan komposer lama dan baru, komposer dalam dan luar negara. Ada pelbagai rentak lagu, ada kelainan yang diperbuat daripada nyanyian dan komposisi dan maksud lirik yang pelbagai. Semoga anda bersedia menerima kehadiran "Hadiah Daripada Hati"’ dengan hati yang lapang.
Ramai yang bertanyakan tentang pemergian Siti ke tanah suci, InsyaAllah doakan agar Siti selamat pergi dan pulang. Doa anda semua Siti harapkan agar segala urusan Siti di tanah suci berjalan dengan baik dan lancar. Moga setiap seorang daripada kita akan diberikan kelapangan untuk menjejakkan kaki ke sana dan menemui PenciptaNya.
Salam manis buat anda semua. Wassalam.
Siti Nurhaliza
Posted in Uncategorized | 7 Comments »